Sunday, July 13, 2008

Erti Seorang Kawan

Bila mana disebut kawan sudah pastinya kita akan terbayangkan kawan-kawan kita. Gelak tawa, suka duka dan segala kenangan bersamanya namun bukan mudah bagi kita untuk memilih kawan yang sebenar-benar kawan, dalam erti kata yang lain kawan yang sanggup berkongsi suka duka senyum tangis dengan kita. Kebanyakan yang ada hanya sanggup berkongsi suka namun duka segelintir saja yang sanggup bertumpang bahu. Hakikatnya untuk berkawan pun kena memilih. Kalau kita berkawan dengan penjual minyak wangi kita akan dapat sama bauan minyak wangi tersebut dan begitulah sebaliknya.

Bukan mudah juga untuk memulakan ukhwah andai kita sendiri segan-segan menerima sebuah perkenalan. Usahlah diharapkan kasih sayang orang andai diri sendiri tidak mampu menghulurkan kasih sayang itu kepada orang lain. Bukankah Nabi telah menyebutkan bahawa “Almuslim akhu muslim” yang bermaksud seorang muslim itu adalah saudara bagi muslim yang lain. Ini bukanlah makna kosong yang bisa kita ketahui secara biasa tetapi sabda Nabi ini perlu kita dalami maksudnya dan intipatinya. Saya tinggalkan sabda ini untuk kita lebih mengkaji hakikat kehidupan sesama muslim.
Tidak dinafikan bahawa pergaulan sesama kita berhajatkan adab dan juga akhlak sesama kita. Andai dikoreksi diri kita adakah kita sudah beradab kepada kawan sendiri? Sudah pasti kita sudah banyak menyakiti hati kawan kita tanpa disedari. Bukan mudah kan untuk kita menjaga sekeping hati ini. Mari kita soroti apa yang Nabi ajarkan kepada kita bilamana bergaul atau berada bersama kawan kita...

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya: ”Jika kamu bertiga maka janganlah dua daripada kamu bercakap-cakap meninggalkan yang ketiga kerana perbuatan begini akan mendukacitakannya”. (Al-Bukhari dan Muslim).

Huraian:

1. Apabila terdapat 3 orang berada dalam satu majlis maka tidak harus dua daripada mereka berbual dan meninggalkan yang ketiga. Perbuatan ini boleh menyebabkan orang yang ketiga berasa dukacita, gelisah dan menimbulkan buruk sangka kerana dirinya tidak dipedulikan.

2. Setiap manusia hendaklah memahami disiplin-disiplin dalam bergaul dan berinteraksi supaya tidak berlaku perkelahian dan pergaduhan.

3. Seorang muslim itu wajib menjauhi sebarang percakapan yang mengandungi unsur-unsur umpat keji, kata mengata dan sebagainya dan tidak menyibukkan diri dengan perkara yang tidak berkaitan dengan dirinya.

Dan untuk muhasabah bersama siapa kawan dihati kita,dan di tempat manakah kita dalam hatinya?


Nukilan ;
Zulfa Hanan