Friday, September 11, 2009

AMANAH DAN TANGGUNGJAWAB - Ketua Hewi KPIPM


الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين,
أما بعد...
Selaut kesyukuran dan pujian buat Pencipta Semesta Alam atas Iradah dan Inayahnya kita masih mengecapi nikmat Iman dan Islam, Alhamdulillah..
Selawat dan salam penuh kecintaan dan kerinduan buat junjungan mulia Rasulullah s.a.w. , ahli keluarga baginda, para sahabat, tabi’ tabiin dan para solihin serta seluruh pendokong risalah baginda di akhir zaman ini.

-: قال تعالى فى كتابه العزيز
" واذ قال ربك للملائكة اني جاعل فى الأرض خليفة "

-: وقال الرسول صلى الله عليه وسلم
" كلكم راع وكل راع مسئول عن رعيته

Firman Allah s.w.t dan sabda Rasulullah s.a.w. ini saya tujukan buat semua saf kepimpinan KPIPM 2009/2010 khususnya dan seluruh ahli KPIPM yang dikasihi umumnya. Saya tidak berhasrat untuk menghuraikan kedua-dua kalam suci ini dengan panjang lebar kerana saya percaya sahabat-sahabat selaku azhari dan azhariyah mampu mentadabbur dan memahami kedua-dua kalam ini dengan baik malah lebih baik daripada saya, insyaAllah.
Justeru, saya menyeru kepada semua sahabat agar kita mengaplikasikan kefahaman yang diperolehi daripada kedua-dua kalam mulia ini dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab kita sama ada sebagai kepimpinan mahupun ahli.
Seterusnya, sempena menunaikan ibadah Ramadhan Al-Mubarak ini, saya juga ingin menyeru dan mengajak sahabat-sahabat untuk kita sama-sama menambah amalan, meningkatkan ketaqwaan dan mencari keredhaan Sang Pencipta Yang Maha Agung.
Sebelum mengakhiri kalam ini, saya bawakan satu maksud sabda Nabi s.a.w untuk kita hayati bersama:
“ Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah dinaungi lembayung bulan yang agung lagi diberkati. Bulan yang terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan. Allah menetapkan kewajipan berpuasa di siang hari dan disunatkan menghidupkan malamnya. Sesiapa yang mendekatkan diri dengan perkara yang sunat maka seolah-olah dia melakukan tujuh puluh kefarduan di bulan yang lain. Bulan ramadhan adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah syurga abadi. Bulan ini adalah bulan pertolongan dan bulan bertambahnya rezeki orang yang beriman.
Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka maka diampunkan dosa-dosanya, dibebaskan dirinya dari api neraka dan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa. Namun, pahala orang yang berpuasa tidak berkurang sedikitpun.
Maka para sahabat berkata: “ tidak semua diantara kami yang mampu untuk menyediakan hidangan untuk orang yang berpuasa”, lantas Nabi s.a.w bersabda: “ ganjaran ini akan diberi kepada orang yang menjamu orang yang berpuasa walaupun dengan sebiji kurma, seteguk air atau susu. Bulan ramadhan adalah bulan yang diawalnya rahmat, ditengahnya keampunan dan diakhirnya pembebasan dari api neraka. Sesiapa yang meringankan hambanya pada bulan ramadhan , Allah akan mengampunkan dosanya dan membebaskannya dari api neraka. Hendaklah kamu memperbanyakkan padanya 4 perkara. Dua perkara yang menyebabkan Tuhan redha padamu dan dua perkara lagi yang perlu kamu lakukan pada bulan ramadhan. Adapun 2 perkara yang menyebabkan Tuhan redha padamu ialah penyaksian tiada Tuhan melainkan Allah dan kamu meminta ampun kepadaNYA. Dan 2 perkara lagi yang perlu kamu lakukan ialah meminta syurga Allah dan berlindung padaNYA dari neraka. Sesiapa yang memberi minum pada orang yang berpuasa Allah akan memberinya minum dari kalamku yang mana minuman itu menyebabkan ia tidak akan merasa dahaga sehingga dia masuk ke syurga”.
( Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah dan Haithami)