Monday, September 14, 2009

KONTANGNYA PELINCIR DALAM TAKUNGAN


Salam Ramadhan pembuka bicara untuk coretan kali ini.Moga-moga gema sepuluh malam terakhir yang dihidangkan untuk kita sebagai hamba Allah swt ,berjaya melayakkan kita untuk kemenangan di Syawal yang bakal tiba.Jika zaman Rasulullah S.A.W dan para sahabat dibarisi dengan mehnah dan tribulasi dalam dakwahnya, sudah pasti kita yang hidup sebagai penyambung risalah tersebut pada hari ini berhadapan dengan situasai yang sama.Allah swt pernah menyebut di dalam kitab suci Al-Quran dalam surah At-Taubah ayat 24 :

“ katakanlah : jika bapa-bapa,anak-anak,saudara-saudara,isteri-isteri,kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan,perniagaan yang kamu khuatiri akan kerugiannya,dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNYA dan (dari) berjihad dijalannya,maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNYA”

Ayat tersebut menerangkan kepada kita tentang saranan berjihad di jalan ALLAH SWT dalam pelbagai sudut kehidupan sebagai seorang muslim yang beriman dengan Allah dan RasulNYA.Di dalam kita melunasi kehidupan selaku rantai perjuangan Rasulullah S.A.W , kepahitan dan keperitan adalah sunnah dalam perjuangan.Ini adalah suatu bentuk pentarbiahan bagi mematangkan individu muslim yang yakin dengan janji Allah.Yang pasti pernahkah kita terfikir dalam benak fikiran insani kita tentang pengorbanan diri untuk agama ALLAH SWT?Adakah kita bertanya pada diri yang hina,apakah sumbangan aku untuk Islam atau hanya suka bertanya apakah sumbangan Islam untuk aku?

Mari kita selami sahabat-sahabat situasi kita pada hari ini!Realiti yang berlaku dalam diri mahasiswa/wi di bumi mesir adalah lokeknya untuk memberikan sumbangan dalam bentuk fikiran atau tenaga kepada persatuan dan pertubuhan yang dinaunginya.Masalah ini bukanlah berlaku kepada seluruh mahasiswa/wi tetapi ia berkisar dalam bilangan yang besar di kalangan mahasiwa/wi kita.Tidak perlu menuding jari mencari kesilapan dan kesalahan orang lain dalam masalah ini ,tetapi sama-sama kita cuba perbaiki.Syabas dan sekalung tahniah diberikan kepada golongan yang berhempas pulas memberikan khidmatnya kepada PMRAM dan persatuan BKAN masing-masing ikhlas kerana ALLAH SWT.Moga jasa dan kebaikan yang disumbangkan tidak terhenti di sini sahaja.
Dalam gerak kerja kita selaku barisan penyokong dan pendokong PMRAM dan KPIPM khususnya bukanlah terbeban di bahu individu tertentu, bahkan ia perlu dilaksanakan secara bergandingan dan kerjasama yang jitu daripada semua golongan kerana ALLAH SWT merakamkan dalam al-quran yang bermaksud:

“sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang berperang di jalan-NYA dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh”AS-SOFF(4).Jelas di situ bahawa kebersamaan kita dalam melakukan gerak kerja adalah suatu perkara yang bukan dianggap remeh bahkan ia adalah penentu keberhasilan diakhirnya.



Sahabat-sahabat yang dirahmati ALLAH SWT,penilaian kebaikan yang kita lakukan bukanlah dinilai dari segi kecil atau besarnya sumbangan tersebut tetapi keikhlasan dalam diri.Amatlah rugi sekiranya kita menjadi golongan yang menunggu-nunggu saat dan ketika yang sesuai untuk memberikan sumbangan kebaikan demi untuk Islam.Jangan menjadi golongan yang banyak bertanya tanpa melakukan apa-apa tetapi letakkan diri dan jiwa kita dalam barisan yang tamak untuk melakukan sumbangan kebaikan.Bukan mudah menjadi suatu golongan yang disebut dalam Al – Quran dalam surah AS-SOFF ayat 14 yang bermaksud:

“ Hai orang-orang yang beriman,jadilah kamu penolong-penolong agama Allah sebagaimana Isa putera Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia:”siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku(untuk menegakkan agama )Allah?pengikut-pengikut yang setia itu berkata:”kamilah penolong-penolong agama Allah”lalu segolongan dari bani Israil beriman dan segolongan yang lain kafir:maka kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuih-musuh mereka,lalu mereka menjadi orang-orang yang menang.”

Menjadi barisan pendokong dan penyokong PMRAM atau KPIPM khususnya, tidak mengenal usia dan jawatan semata-mata kerana tugas pendakwah dan khalifah telah terpundak sejak azali lagi.Jawatan dan pangkat hanyalah tertulis di atas kertas semata-mata,kebenarannya semua golongan yang bergelar khalifah hendaklah menjalankan amanah di tangannya.Apa yang terjadi pada hari ini ialah sesetengah golongan yang menganggap sumbangan dan khidmat yang diberikan berdasarkan jawatan dan pangkat.
Pemikiran seperti ini perlu dilemparkan jauh daripada kehidupan kita sebagai golongan mahasiswa/wi Islam masa kini.Pemikiran ini jugalah yang dapat membarahkan keadaan dan situasi kita hari ini.Jika ini berlarutan tanpa penghujung dan penyelesaian,maka kita akan lihat kehancuran umat Islam hari ini dan akan datang.Perpecahan umat Islam kini memberikan impak yang besar dalam strategi pihak kafir untuk mereka menghancurkan umat Islam.Jangan terlalu mengikut hawa nafsu dan perasaan dalam diri, tetapi ajak dan didik diri untuk sama-sama memperbaiki kesilapan yang ada.

Kebanjiran pelajar-pelajar pulang ke Malaysia pada tahun ini sedikit sebanyak memberikan kesan kepada tenaga penggerak dan pelincir dalam persatuan.Hal ini bukan sahaja dirasai oleh KPIPM bahkan dewan perwakilan-dewan perwakilan mahasiswa/wi di bumi Mesir seterusnya PMRAM sendiri.Perkara ini perlu difikirkan bersama bagi memudahkan lagi gerak kerja kita untuk sesi ini dan akan datang.Mungkinkah hal ini akan berlaku setiap tahun atau hanya pada tahun ini sahaja?Apa yang pasti selaku golongan yang berkesempatan untuk menyambut Aidilfitri di Mesir pada tahun ini,perlulah berganding bahu dan menyumbangkan sebanyak mungkin sumbangan tenaga dan buah fikiran yang ada untuk KPIPM dan PMRAM khususnya.
Kefahaman dan kerjasama yang terbaik dari semua golongan yang ada pada hari ini perlulah disatukan di bawah kesatuan yang jelas.Ini bagi memudahkan lagi gerak kerja kita dalam menjayakan program-progam yang bakal dijayakan pada tahun ini.Kebajikan serta kebaikan yang disumbangkan dengan seikhlas hati mudah-mudahan diganjari pahala dan syurga ALLAH SWT yang pasti.Tiada wang ringgit atau balasan keduniaan dapat diberikan daripada pengorbanan kalian, melainkan hadiah dari RABBUL IZZATI di akhirat kelak kerana DIA tidak pernah memungkiri janjiNYA.Setiap kebaikan yang datang dari hambanya walaupun sebesar zarah pasti akan dibalas dengan kebaikan di sisiNYA manakala setiap kejahatan dan keburukan daripada hambaNYA pasti dibalasi dengan azabNYA yang pedih.Serulah diri serta sahabat-sahabat seperjuangan lain agar segera mengisi ruang kekontangan pelincir yang berada di depan mata kita dengan menyumbangkan seberapa banyak kebaikan demi untuk Islam tercinta.

Dengan hari kemenangan Aidilfitri yang kian menjelma,perbaikilah diri dari semasa ke semasa untuk memastikan kita meraih kemenangan yang sebenar-benarnya.Moga-moga dengan kesedaran dari semua pihak dapat membuktikan hadaf serta tujuan kita tercapai di akhir keputusan.Dikesempatan yang terluang ini, barisan kepimpinan KPIPM SESI 2009/2010 mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDULFITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN.Sebelum mengakhiri kalam coretan kali ini,hayati kata-kata yang ditinggalkan:

“PENGORBANAN DAN KEPERITAN YANG LAHIR DARI JIWA YANG MENCINTAI KEBAIKAN, AKAN DATANG KEPADANYA SEJUMLAH KEBAIKAN YANG SUKAR DIHITUNG UNTUK MENJADIKAN DIRINYA INSAN YANG TERBAIK”


SIRRU A’LA BARAKATILLAH