UNTUKMU WANITA...
Agungnya ciptaan Allah Taala menjadikan manusia dengan seindah ciptaan, pelbagai rupa dan berkisah ragam. Begitu jugalah halnya dengan seorang yang bergelar wanita. Penciptaan seorang wanita yang berbeza dengan lelaki bermula dari bentuk fizikal sehinggalah fitrah naluri yang Allah anugerahkan. Betapa Allah ingin menjaga dan memuliakan seorang wanita sehingga dinamakan satu surah didalam Al-Quran dengan nama surah An-nisa', Allah tidak menamakannya dengan surah Ar-Rijal. Begitu juga dengan seorang wanita suci yang Allah maktubkan namanya didalam Al-Quran sebagai nama surah Maryam.
Menyingkap kisah di zaman jahiliyah wanita hanya dipandang rendah, dipergunakan dan mereka menganggap tiada berharganya menjadi seorang wanita. Menjadi kepelikan bukankah mereka juga keluar dari perut seorang wanita?Andai wanita ini tiada nilainya jadi mereka yang lahir itu apatah lagi. Tetapi malangnya perkara ini tidak difikir malah diendahkan. Sehinggalah datang Nabi Muhammad SAW mengangkat dan memuliakan seorang wanita. Dari seorang anak kecil perempuan lah nanti bakal bergelar seorang ibu. Bukankah ibu seorang yang mulia?.
Diantara kelebihan seorang wanita ini adalah doa seorang wanita lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah SAW akan hal tersebut, jawab Baginda s.a.w ; Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.
Disini bukanlah bermaksud bapa tidak penyayang akan tetapi ibu lebih-lebih lagi bersifat penyayang kerana ibulah yang mengandungkan si anak selama sembilan bulan, melahirkan, menyusukan dan menjaganya dengan dengan penuh kasih.Pastinya Allah menawarkan kelebihan-kelebihan kepada wanita kerana fitrah yang dianugerahkan. Lihat sahaja hadis yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW :
"Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki".
Begitu mudah dan senang Allah memberikan ganjaran kepada kaum wanita namun usah dilupakan bahawa begitu mudah dan senang juga untuk Allah menempelak dan menghumban kaum wanita ke neraka berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud :
" Diperlihatkan bagiku Neraka, maka tiba-tiba kebanyakan ahlinya adalah perempuan yang kufur". Sahabat bertanya : " Adakah mereka kufur kepada Allah SWT? Baginda bersabda :
" Mereka mengkufuri suami dan mengkufuri kebaikan, jika kamu berbuat baik kepada salah seorang dari mereka (para isteri kamu) sepanjang masa kemudian dia melihat sesuatu yang tidak elok baginya pada diri kamu, nescaya dia akan berkata :" Aku tidak pernah melihat daripada engkau sesuatu pun dari kebajikan sama sekali."
Sudah nyata lagi bersuluh anugerah yang Allah sediakan dan balasan yang dijanjikan bagi wanita yang mengingkarinya. Ingin menjadi wanita yang bahagia di dunia, dimohon ampun untuknya segala ikan di lautan, dipuji sekalian ahli langit maka telitilah lembaran cinta Allah Taala di dalam Al-Quran dan bicara kasih Nabi SAW didalam Sunnahnya berkenaan wanita. Pesanan yang Nabi tinggalkan untuk wanita sepertimana hadis baginda SAW :
الدنيا متاع وخير متاع المرأة الصلحة
"Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah"
Jadi apa yang ditunggu, bulatkan azam bahawa "aku ingin menjadi wanita solehah".