Monday, May 25, 2009

WANITA DAN MALU

Istilah malu mempunyai makna dan pengertian yang luas dalam Islam. Malu adalah lambang kesempurnaan iman sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya yang bermaksud: "Sifat malu adalah ranting (cabang) daripada iman". (Riwayat Bukhari & Muslim)

Sifat malu merupakan perhiasan utama bagi seorang muslimah. Muslimah yang bekerjaya atau muslimah yang menjadi suri rumah sepenuh masa tetap diperintahkan mempertahankan fitrah mereka dengan memelihara sifat malu. Wanita khasnya dituntut mempunyai sifat malu terutama hal yang berkaitan maksiat dan larangan-larangan Allah SWT. Apabila menghampiri hal-hal sebegini, mereka akan berasa malu, dan seterusnya memikirkan balasan Allah SWT di dunia dan akhirat.

Namun malu yang bersifat negatif pula ialah malu melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT. Lebih parah sekiranya mereka melakukan apa yang dilarang oleh Allah, dan melanggar sistem sosial masyarakat sehingga melupakan balasan di dunia dan akhirat. Wanita juga tidak harus malu dalam mempelajari ilmu pengetahuan Islam dan tidak boleh malu dalam menuntut kebenaran.

Wanita muslimah atau wanita yang bertamadun tidak akan menggadaikan maruah dan membuang sifat malu semata-mata mahu kelihatan moden. Mementingkan pandangan Allah SWT lebih bermakna daripada mementingkan pandangan masyarakat. Tidak mengapa jika anda dilabel sebagai tidak moden, kolot, dan sebagainya, yang penting ialah anda tahu menjaga maruah serta tahu kesan-kesan buruk yang akan berlaku kepada iman, maruah diri, keluarga, dan masyarakat jika anda bertindak tidak tahu malu.

Memelihara malu diri sendiri dan menjaga aib (malu) orang lain sangat penting dalam pembinaan bangsa yang bermaruah. Malu dikatakan perisai dan perhiasan kepada wanita dan juga lelaki , yang dapat menghalang mereka dari terjerumus kelembah kehinaan serta dosa zahir dan batin.

Sifat malu tidak akan menyekat pergerakan wanita untuk mengikuti perkembangan dunia semasa. Malahan wanita yang pemalu lebih berjaya bukan sahaja di dunia, malah di akhirat juga, insyaAllah. Malu adalah lambang iman yang akan membawa seseorang ke syurga. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :
" Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya". (Riwayat Bukhari)

Diantara kesan sifat malu ialah:
  • Al-'iffah iaitu kesopanan yang menghalang diri daripada melakukan sesuatu perkara yang tidak baik dan keji.
  • Al-wafa' iaitu benar pada janji dan amanah. Al-Ahraf bin Qais berkata : " Dua perkara yang tidak terhimpun kedua-duanya selama-lamanya di dalam kehidupan manusia iaitu dusta dan maruah". Maruah yang dimaksudkan termasuklah benar, amanah, malu, dan kesopanan.

Pemalu bukan sahaja memperlihatkan kemanisan akhlak dan ketinggian akidah seseorang wanita, malah memelihara diri wanita itu sendiri dari kehinaan dan kemusnahan peribadi secara beransur-ansur. Yakinlah bahawa sifat malu tidak akan menyisihkan anda dari arus globalisasi. Malah, anda akan lebih berkeyakinan serta jelas dengan tujuan anda untuk melakukan sesuatu perkara.